Dakwaan PN rasuah Agong RM1 bilion, polis buka kertas siasatan

Dakwaan PN rasuah Agong RM1 bilion, polis buka kertas siasatan.

Polis Diraja Malaysia sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan PN cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong bagi menjatuhkan kerajaan, kata Razarudin Husain petang ini.

Menurut Ketua Polis Negara, siasatan tersebut dibuat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Kenyataan itu dibuat selepas Bukit Aman mengambil keteragan daripada empat individu termasuk pegawai kanan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom).

Kata Razarudin empat individu terbabit dirakam percakapan mereka berhubung gerakan “Langkah Dubai” yang mula didedahkan J-Kom baru-baru ini.

Empat individu yang dipanggil itu membabitkan tiga aktivis politik PN dan Timbalan Ketua Pengarah J-Kom, Ismail Yusop.

Tiga aktivis PN yang dipanggil ialah Badrul Hisham Shaharin, Wan Muhammad Azri Wan Deris serta Salim Iskandar.

Sebelum ini tular dakwaan yang memberi gambaran bahawa PN cuba merasuah Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebanyak RM1 bilion bagi merestui usaha pembangkang menukar kerajaan.

Dakwaan itu turut dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, namun dinafikan oleh ahli politik veteran itu.

Pada Selasa, dalam kenyataan selepas mengadap Agong, Anwar mendakwa Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah supaya Kerajaan Madani terus menguruskan negara.

Anwar turut menyebut mengenai derma yang ingin disampaikan mana-mana pihak – sama ada RM500 juta atau RM750 juta – harus disalurkan terus kepada asnaf.

Turut baca :

Namun Anwar tidak menjelaskan maksud kenyataan tersebut.

Sementara itu, Razarudin berkata, empat laporan polis telah diterima berhubung dakwaan PN cuba merasuah Agong.

Katanya empat individu terbabit dipanggil bagi dirakam keterangan mereka mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah berhubung Langkah Dubai.

Razarudin turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan polis.

“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau komentar yang boleh menganggu siasatan,” katanya lagi.

Polis juga akan merujuk kertas siasatan kes tersebut kepada Jabatan Peguam Negara selepas ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*