Belum reda dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan yang sehingga kini pelakunya masih bebas, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian tragis menimpa calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie.
Pelajar tingkatan lima itu maut selepas didakwa dilanggar seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun yang dipercayai berang selepas mendengar bunyi bising ekzos motosikal ditunggang mangsa di Ipoh, Perak pada Jumaat lalu.
Pada Isnin lalu, pelaku telah didakwa di Mahkamah Majistret di Ipoh atas pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun, namun sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani tidak menafikan sikap panas baran yang dihidapi seseorang itu mampu membawa kepada kemudaratan sehingga berlaku kejadian mencederakan dan membunuh.
Menurutnya, baran merupakan penyakit yang terbentuk dalam jangka panjang disebabkan beberapa faktor termasuk trauma daripada masa lampau dan memendam rasa tidak puas hati dalam suatu tempoh tertentu yang panjang.
“Rasa marah itu sebenarnya normal dan tidak berbahaya kerana ia merupakan reaksi pemikiran serta emosi terhadap sesuatu perkara.
“Bagaimanapun, apabila marah itu tidak terkawal lagi atau seseorang itu menjadi panas baran, maka ia boleh menjadi kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.
“Kes-kes kekerasan ini berlaku apabila kemarahan itu berada pada tahap kemuncak atau ada perkara yang mencetuskannya. Ini adalah penyakit yang mana seseorang itu gagal untuk kembali bertenang,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut mengenai trauma yang menjadi antara punca baran, beliau memberitahu, ia melibatkan pengalaman lalu seseorang itu sama ada pernah didera atau melihat kekasaran yang kemudiannya membentuk pola pemikiran tertentu.
“Mungkin pada pemikiran seseorang yang panas baran itu, kakasaran itu diterima pakai dalam hidup, kalau ada salah kena berani betulkan sekalipun dengan cara kekerasan,” katanya.
Tambahnya, baran bagaimanapun boleh dirawat dengan melakukan aktiviti termasuk sukan yang membantu mengurangkan tekanan fikiran dan pemeriksaan kesihatan mental.
“Penyakit ini sebenarnya perlu dirawat atau disantuni kerana ia tidak memberi manfaat kepada diri sendiri atau orang lain.
“Antara rawatan boleh dilakukan adalah melampiaskan rasa marah di tempat dan masa yang betul, melakukan aktiviti bermanfaat seperti bersukan agar tenaga negatif dapat dikeluarkan dan melakukan ujian kesihatan mental,” katanya.
Ujarnya lagi, selain kesedaran kendiri, masyarakat sekeliling turut memainkan peranan dalam membantu penghidap penyakit baran.
“Ahli keluarga, rakan-rakan dan majikan boleh menegur golongan ini dengan cara berhemah. Jangan terus membuatkan mereka ini merasa berkuasa atau mempunyai pengaruh kerana perbuatannya tidak ditegah,” ujarnya.
Leave a Reply