“Ustazah terletak dihati saya” Aksi pelajar bagi ‘pickup line’ pada ustazah undang pelbagai reaksi

SELAIN guru dan ibu bapa, terdapat beberapa lagi golongan yang termasuk dalam kategori sebagai pendidik iaitu penceramah motivasi.

Penceramah bukan sekadar menyuntik semangat atau motivasi malah memberi ilmu awam yang bermanfaat kepada para pelajar sekolah.

Namun, usaha mendidik dalam kalangan penceramah nampaknya semakin pudar disebabkan oleh pengaruh budaya media sosial yang semakin kuat.

Isu tersebut mula timbul selepas tularnya sebuah video memaparkan aksi seorang murid yang tanpa segan silu memberi pickup line kepada guru dalam satu sesi ceramah.

Bukan itu sahaja, pemilik video yang juga seorang penceramah itu dilihat telah menerapkan satu budaya yang tidak sihat kepada pelajar sekolah berkenaan.

Video tersebut turut menerima kritikan hebat para netizen kerana menganggap ia sesuatu yang tidak harus dilakukan oleh seorang penceramah.

Menurut salah seorang warga maya menerusi hantarannya di Twitter (X) @Alturkistiano, konten yang dipaparkan itu menjadi satu persoalan tentang penerapan budaya baharu yang diterima baik oleh golongan pendidik.

Tidak dinafikan, ia sekali gus menimbulkan kebimbangan ibu bapa terhadap anak mereka yang mungkin terjebak dalam pengaruh tersebut.

“Adakah ini budaya baharu? Style baharu dalam industri penceramahan dan motivasi pendidikan anak-anak di sekolah hari ini?.

“Tapi, aku tak peduli. Aku nak lontarkan pandangan aku. Aku tak setuju dengan ajaran atau budaya atau style baharu ini. Aku tak setuju dan aku nak kritik,” tulisnya.

Katanya, aksi murid dalam video itu juga membuatnya berasa tidak selesa dan mengatakan bahawa walaupun sekadar konten gurauan namun ia tidak bukanlah cara sebenar dalam menimba ilmu.

Baginya, sekolah adalah tempat untuk murid belajar dan tempat untuk para pendidik mendidik dengan matlamat yang jelas.

“Sudah pasti matlamat asas orang ke sekolah adalah untuk jadi bijak, jadi baik, jadi matang, jadi rasional, jadi manusia yang boleh memberi manfaat kepada dunia dan kemanusiaan.

“Aku tak nampak apa-apa matlamat yang jelas dengan membuatkan remaja itu menggilitat akan menjadikan dia pemenang Nobel Prize di masa hadapan,” tambahnya.

Pada masa sama, dia turut memberi cadangan agar lebih menerapkan budaya timur iaitu budaya rasmi Malaysia dan tidak terpengaruh dengan budaya barat.

Sementara itu, rata-rata warganet lain juga memberi reaksi sama dan menggesa agar pihak sekolah lebih tegas dalam memilih penceramah ke sekolah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*