{VIDEO} “Patutnya kurangkan kelajuan…” Melambung tergolek, bergesel dengan kereta elak ambulans potong ‘double line’

TINDAKAN pemandu kereta yang mahu memberikan laluan kepada ambulans menjadi punca berlakunya satu kemalangan yang turut membabitkan seorang penunggang motosikal baru-baru ini.

Insiden kejadian tersebut tular sejak Khamis menerusi satu video rakaman papan pemuka yang dimuat naik di laman Facebook, We Are Malaysians.

Berdasarkan klip berdurasi 45 saat itu, kereta terlibat pada awalnya dilihat bergerak di satu jalan raya dengan keadaan trafik di lorong bertentangan dilihat sesak pada Selasa.

Namun, tidak lama kemudian, sebuah ambulans dari arah bertentangan didapati muncul dan sedang memotong di laluan garisan berkembar sehingga memasuki jalan dilalui kereta terbabit.

Situasi itu memaksa kenderaan itu memperlahankan kenderaan dan menyusur ke kiri bahu jalan.

Bagaimanapun, tindakan tersebut dipercayai menyebabkan sebuah motosikal yang datang dari arah belakang kereta tidak sempat mengelak lalu melanggarnya dari arah sisi kiri kenderaan.

Impak daripada pelanggaran tersebut menyaksikan penunggang motosikal tersebut melambung lalu terjatuh dan terbaring di tepi jalan.

Berdasarkan klip tersebut, penunggang terbabit dilihat masih bergerak dalam keadaan terbaring.

Berdasarkan tarikh pada rakaman papan pemuka berkenaan, kejadian kemalangan itu dipercayai berlaku pada Selasa lalu sekitar pukul 6.30 petang.

Bagaimanapun, status penunggang motosikal terlibat dalam insiden tersebut dan lokasi kejadian tidak dapat dipastikan.

Pada masa sama, belum ada kenyataan daripada pihak polis berhubung insiden tersebut.

Dalam pada itu, di ruangan komen, warganet dilihat berbelah bahagi mengenai pihak yang patut dipersalahkan sehingga menyebabkan kemalangan terbabit.

“Aku tak rasa yang motor tu nak potong kiri. Tapi dia nak elak kereta yang brek mengejut. Sudahlah waktu tu dekat selekoh,” tulis Muhammad Aziz.

“Tak peka bila nampak ambulans. Patutnya kurangkan kelajuan. Tapi mungkin dia panik masa nak mencelah tu,” ujar Aqiz A Rahman.

“Dua-dua tak salah. Tapi lepas ni hati-hati. Jangan panik bila jadi macam dalam video ni, (pemandu kereta) tengok kiri dulu dulu selamat tak, baru bagi ruang,” kata Muhammad Firdaus.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*