Beberapa penduduk di Jalan Mas, Taman Kolam Air, di sini menempuh detik cemas apabila terpaksa memecahkan pintu dan bumbung rumah untuk menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam banjir kilat petang tadi.
Muhammad Ikram Md Rashid, 24, berkata dia menyedari diri terperangkap selepas terdengar bunyi hentakan kuat di pintu depan rumahnya.
“Ketika itu, saya sedang baring sebelum terdengar bunyi seperti hentakan di pintu. Bila saya jenguk ke luar tingkap, rupanya air sudah naik hingga paras dada.
“Saya terus jerit minta tolong kerana kami dalam rumah tak dapat keluar sebab air di luar dah tinggi. Selepas 20 minit, baru ada jiran bantu kopak pintu,” katanya ketika ditemui di sini.
Dia yang bekerja di Singapura dan kebetulan tidak bekerja hari ini, keluar sehelai sepinggang.
Joshua Abraham, 29, yang menyewa di kawasan itu berkata, dia dan rakan-rakannya terpaksa mengopak bumbung rumah untuk mengeluarkan seorang rakan mereka.
“Semua terkejut bila dengar jeritan. Saya tak dapat bawa apa-apa, baju pun tak pakai. Saya risaukan pasport sebab saya kerja di Singapura, tapi hari ini tak kerja,” katanya yang berasal dari Kuala Lumpur.
Dia juga tidak sempat menyelamatkan motor dan keretanya kerana air naik terlalu cepat.
Peniaga, P Kili, 50, bimbang selepas dua kali banjir kilat melanda, dengan kali ini lebih teruk.
Peniaga kedai makan, dobi dan barangan kahwin itu berkata, semua barang dan perkakas di tiga kedai terbabit mengalami kerosakan teruk.
“Tujuh mesin basuh dan dua peti sejuk ditenggelami air. Saya tak sempat berniaga hari ini, semuanya sudah rosak.
“Kali pertama banjir tahun lepas, tetapi cuma paras lutut, itu pun sudah rugi ribuan ringgit. Tak tahulah bagaimana kali ini,” katanya dalam nada sedih.
Hujan lebat berterusan selama dua jam di bandar raya ini sejak tengah hari tadi mengakibatkan kira-kira 25 lokasi di sini dilanda banjir kilat.
Leave a Reply