Simpanan KWSP dan peribadi lesap, wanita rugi hampir RM1.2 juta

Polis menerima dua laporan penipuan dalam talian di Sarawak membabitkan kerugian RM328,000 semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mancha Ata, berkata kes pertama membabitkan pesara wanita berusia lewat 50-an di Bintulu yang menerima panggilan daripada individu mendakwa dari Pos Laju pada pertengahan September lalu.

Katanya, suspek mendakwa ada satu barang kiriman atas nama mangsa mengandungi kad debit individu lain, namun dinafikan mangsa yang kemudiannya disambungkan kepada “Sarjan Ling” dari Bukit Aman mengatakan semakan mendapati nama mangsa terbabit aktiviti pengubahan wang haram dan menerima komisen RM300,000.

“Suspek turut menyatakan mangsa boleh membuat rayuan dengan pihak atasan dan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan. Kemudian, talian telefon disambungkan kepada seorang lelaki bernama ‘Tuan Chung’,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, mangsa diminta menyenaraikan semua akaun banknya dan diarah membuka akaun baharu serta memindahkan semua wang ke akaun itu bagi tujuan semakan audit Bank Negara.

Menurutnya, mangsa membuka akaun baharu dan memindahkan semua wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans berjumlah RM170,000 ke akaun itu pada akhir September lalu.

“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan wang dalam akaun pada Selasa lalu dan mendapati wang berjumlah RM170,000 dipindahkan ke tujuh akaun bank atas nama individu tidak dikenali pada September hingga Oktober lalu.”

Mancha berkata, kes kedua ialah penipuan tawaran kerja sambilan melalui Facebook membabitkan seorang pekerja pusat rawatan kuku di Kuching.

“Dia tertarik dengan tawaran ‘kerja dari rumah’ di page ‘rock space’ pada pertengahan November. Menurut mangsa, tiada bayaran dikenakan dan dia diminta menekan pautan, iaitu tambah nilai wang ke akaun bank tertentu yang akan diberikan perkhidmatan pelanggan.

“Sepanjang urusan melakukan kerja dalam talian itu, mangsa menerima arahan melalui WhatsApp daripada perkhidmatan pelanggan yang memintanya memindahkan wang berjumlah RM158,000 dari akaun bank miliknya ke sembilan akaun atas nama individu dan syarikat tidak dikenali secara berperingkat pada November.”

Katanya, mangsa menerima komisen RM397.30 hasil kerja dalam talian itu, namun menyedari ditipu selepas RM158,000 serta keuntungan tidak dapat dikeluarkan dari akaun e-walletnya.

“Malah, suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan RM50,000 jika ingin menebus wang itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.”

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*