DUA kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam sebuah kolam ternakan udang berdekatan rumah mereka di Kampung Sungai Emas Hujung, Kota Kuala Muda, Sungai Petani, Kedah pada Rabu.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Aidil Adha Mohd Ali, 5, serta sepupunya, Muhammad Syafiq Amsyar Abdul Syahid, 3.
Bapa Muhammad Aidil, Mohd Ali Abdul Rahman, 48, berkata, ketika kejadian dia sedang bekerja di kolam udang tersebut sebelum isterinya memaklumkan mengenai kehilangan anaknya serta anak saudara mereka.
“Muhammad Aidil merupakan anak keenam daripada tujuh beradik dan selalu ikut saya ketika bekerja di kolam udang.
“Sebelum kejadian saya lihat dia dan sepupunya bermain dengan arnab peliharaannya di bawah bangsal, berhampiran kolam udang itu. Selang beberapa minit, mereka berdua tidak kelihatan, hanya tinggal arnab di situ,” katanya ketika ditemui pemberita di Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda, Sungai Petani pada Rabu.
Mohd Ali berkata, usaha mencari kanak-kanak itu akhirnya membawa kepada penemuan jasad mereka di dalam kolam udang, selepas pukat di dalam kolam ditarik ke atas.
“Saya kata ya ALLAH! sahih anak aku dok dalam kolam ni dah, tawakal saya cuba tarik pukat dan terasa berat lantas meminta bantuan jiran untuk menarik pukat tersebut.
“Bila tarik pukat kali pertama, terus dapat sepupunya, tarik kali kedua tak dapat, tarik ketiga baru dapat anak saya,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Klinik Kesihatan Kota Kuala Muda dan mereka disahkan telah meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Leave a Reply