90,000 nelayan ditindas, orang tengah semakin ‘kebal’.
Kira-kira 90,000 nelayan kecil tempatan di seluruh negara mengeluh ekoran nasib mereka tidak berubah sejak sekian lama dan mendakwa ditindas pemain industri gergasi dalam sektor perikanan.
Nelayan-nelayan kecil dengan 70,000 membabitkan nelayan Melayu itu mendakwa hasil laut mereka terpaksa dijual kepada orang tengah yang turut memiliki bot besar dengan harga rendah kerana mereka ‘tiada akses’ memasarkan hasil laut kepada pemborong.
Penguasaan orang tengah yang sudah lama telah membentuk rangkaian menyebabkan mereka yang menentukan harga ikan di pasaran sehingga ikan rakyat seperti pelaling dan kembong dijual lebih RM12 sekilogram dengan hanya menjadikan cuaca sebagai alasan.
Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, masalah logistik dan pengedaran yang tidak mampu dibangunkan nelayan kecil menyebabkan orang tengah yang turut memiliki bot-bot besar mengambil kesempatan ke atas nelayan-nelayan kecil.
Kata sumber, masalah monopoli sehingga menindas nelayan kecil sudah berlaku bertahun-tahun sehingga orang tengah dalam industri ikan negara menjadi kebal.
“Orang kita (nelayan kecil) tidak ada akses kepada pasaran, banyak jeti dikawal oleh orang tengah. Setiap jeti ada ‘kepala’ yang akan membekalkan kepada pemborong. Di peringkat pemborong pun ada kepala dia.
“Setiap jenis hasil laut pun ada yang mengawalnya. Ikan, udang, sotong, ketam misalnya setiap satu ada kepala. Kumpulan nelayan tidak dibenarkan masuk pasaran dan tidak dibenarkan berkembang besar,” katanya di sini semalam.
Sumber berkata, kewujudan kartel-kartel ini menyebabkan harga ikan dan hasil laut melonjak di pasaran, namun peningkatan harga itu ‘diwayangkan’ atas alasan cuaca yang menyebabkan nelayan tidak boleh turun ke laut sekali gus bekalan kurang.
Bayangkan, harga ikan Pelaling atau Kembong yang merupakan ikan rakyat boleh mencecah berbelas-belas ringgit sekilogram ketika ini sedangkan pemborong membeli murah dua kali ganda daripada nelayan.
Beliau berkata, kerajaan amat sukar untuk membanteras orang tengah kerana agensi-agensi yang bertanggungjawab telah ‘ditidurkan’ oleh kartel-kartel ini.
Justeru, katanya, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan Malaysia tidak boleh berdiam diri atau mengambil sikap tidak peduli untuk membela nasib nelayan termasuk menghapuskan birokrasi dalam pemberian lesen.
Sebagai contoh, keadaan itu diakui sendiri kira-kira 50 nelayan pantai berpangkalan di Telok Nipah, Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Kedah sebagaimana dilaporkan Utusan Malaysia sebelum ini yang terpaksa mengambil risiko turun ke laut tanpa lesen lebih 10 tahun lalu walaupun mereka telah pun berbuat demikian.
Ketiadaan lesen menyebabkan mereka tidak boleh menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dan peruntukan subsidi minyak petrol yang boleh digunakan semasa tidak boleh ke laut pada musim hujan dan ribut atau ketika sakit.
Bayangkan hanya tiga daripada 50 nelayan itu yang mendapat lesen dan ia sudah tentu menimbulkan banyak persoalan tentang sikap dwi standard dan layanan berstatus kayangan kepada pihak-pihak tertentu.
“Ini semua berkaitan pemindahan harga (transfer pricing), setiap rantaian dikawal, nelayan akan terus teraniaya dan pengguna pula menjadi mangsa peningkatan harga barang.
“Jika setiap agensi bertanggungjawab, situasi ini tidak akan berlaku. Kartel-kartel ini semakin besar kepala kerana tidak ada siapa berani sentuh mereka apatah lagi mereka dilindungi untuk terus melakukan kegiatan ini,” katanya.
Leave a Reply