Empat individu termasuk seorang peguam yang ditahan polis berhubung kes pelaburan i-Serve dipercayai ‘orang penting’ dalam menggerakkan operasi syarikat itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua mereka merupakan kakitangan di perniagaan pelaburan i-Serve dan mengetahui selok belok operasi syarikat.
“Kita percaya mereka ini yang menguruskan operasi syarikat termasuk menjaga transaksi kewangan dan pelabur,” katanya di sini.
Dalam pada itu, Ramli berkata, empat individu berkenaan yang ditahan semalam direman antara sehari hingga empat hari bagi membantu siasatan berkaitan perniagaan i-Serve serta rangkaiannya.
Kata beliau, suspek pertama wanita berusia 30 tahun direman empat hari bermula hari ini sehingga 27 Oktober.
Menurutnya, suspek kedua wanita berusia 33 tahun pula direman tiga hari manakala suspek ketiga lelaki berusia 48 tahun turut direman tiga hari.
- Turut baca : {VIDEO} Ambulans terbalik, 2 cedera dirempuh pemandu kereta Audi langgar lampu merah di Putrajaya
“Suspek keempat yang juga seorang peguam berusia 62 tahun pula direman sehari bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Media semalam melaporkan empat individu termasuk peguam individu terbaharu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan perniagaan i-Serve serta rangkaiannya.
Penahanan dua wanita dan dua lelaki itu menjadikan tangkapan kes tersebut setakat ini seramai lapan orang.
Tiga suspek ditahan antara pukul 1 petang hingga 1.30 petang di perkarangan Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini manakala seorang lelaki berusia 62 tahun yang berperanan sebagai peguam I-Serve diberkas di Bukit Tunku di sini.
Leave a Reply