Lelaki maut ditetak dalam pergaduhan, 8 suspek warga tempatan diburu

Seorang lelaki berusia 24 tahun dilaporkan maut akibat diserang menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan yang berlaku di Jalan Trus, Johor Bahru, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pemeriksaan mendapati, terdapat kesan tetakkan di kepala, punggung, bahu, tangan dan pergelangan tangan mayat mangsa.

Polis percaya kejadian berlaku di antara jam 12.45 tengah malam hingga 1.08 pagi. Polis kini sedang mengesan lapan suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan menaiki kereta Perodua Viva berwarna putih dan Toyota Vios berwarna hijau.

Punca pergaduhan mangsa dengan lapan suspek warga tempatan itu juga masih dalam siasatan. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Johor Bahru Selatan 07-218 2323 atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Kong Hock Peng, 019-730 888.

Sementara itu menurut satu audio yang tular di Telegram menjelaskan, mangsa sebenarnya tiada kena mengena dalam pergaduhan itu. Dan mangsa sebenarnya hanya mahu membantu meleraikan pergaduhan yang berlaku di antara lapan suspek terbabit.

“Arwah ni tak ada kena mengena pun dengan pergaduhan tu. Kebetulan arwah kat situ, dia nampak dan cuba meleraikan. Arwah pulak terkena,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*