Gagal patuhi perintah mahkamah, Mujahid beri notis akhir pada Dusuki

Penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dikatakan tidak menuruti perintah mahkamah supaya membayar kos berjumlah RM23,000 kepada Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof.

Mujahid berkata, merujuk kesnya dengan bekas pemimpin Dewan Ulama PAS itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Mahkamah Rayuan, Dusuki diperintah membayar kos berjumlah RM23,000.00.

“Sehingga hari ini, Dusuki masih gagal atau cuai untuk membuat bayaran kos tersebut.

“Oleh itu, peguam saya pada hari ini telah mengeluarkan satu notis akhir kepada Dusuki untuk menuntut beliau membuat bayaran tersebut dalam tempoh 14 hari,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Untuk rekod, Dusuki mengemukakan saman ke atas Mujahid berikutan ciapan berbunyi: “Seorang ustaz berdusta, berpuluh ribu jadi mangsa, berlagak tahu segalanya akhirnya telan api fitnah dalam perut dia sendiri, hingga kini tak pernah tarik balik pendustaannya. Allahu mustaan”.

Susulan itu, Ahmad Dusuki menuntut Mujahid membuat permohonan maaf melalui siaran akhbar serta ganti rugi yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen Shah Alam telah pun menolak saman fitnah yang dikemukakan Ahmad Dusuki itu dengan kos RM11,000.00.

Ahmad Dusuki yang tidak berpuas hati kemudiannya merayu ke Mahkamah Tinggi dan rayuannya turut ditolak tersebut dengan kos RM7,000.00.

Di Mahkamah Rayuan, Ahmad Dusuki kemudian menarik balik rayuannya dan diarahkan membayar RM5,000 sebagai kos kepada Mujahid.

Sementara itu Mujahid yang juga bekas ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan sekiranya Dusuki gagal melunaskan bayaran tersebut, tindakan selanjutnya akan diambil.

“Saya akan teruskan dengan tindakan pelaksanaan termasuk dan tidak terhad kepada tindakan writ penyitaan dan penjualan, garnishee dan apa-apa jua tindakan pelaksaan yang difikirkan sesuai,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*