Larikan isteri ketiga, dua lelaki termasuk pengurus tahfiz ditahan

Seorang wanita dilarikan dua individu termasuk suaminya sendiri selepas enggan mendaftar perkahwinan secara sah di di sebuah pangsapuri di Jalan Ampang, 12 Oktober lalu.

Satu laporan polis dibuat seorang wanita berusia 38 tahun yang merupakan isteri ketiga suspek kira-kira pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam lif pangsapuri berkenaan dan diminta oleh dua individu tidak dikenali untuk berjumpa suaminya yang merupakan seorang pengurus pusat tahfiz.

“Mangsa kemudiannya akur dan berjumpa suaminya itu sebelum dilarikan suspek menaiki sebuah kereta,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah inap desa di Pasir Puteh, Kelantan.

“Mangsa mendakwa terpaksa mengikut suaminya itu tanpa kerelaan telah dikurung dalam homestay (inap desa) berkenaan.

“Mangsa kemudiannya berjaya melarikan diri keluar daripada homestay terbabit pada 13 Oktober lalu kira-kira pukul 12.30 pagi sebelum pergi ke balai polis dengan bantuan penduduk kampung berhampiran untuk membuat laporan,” jelasnya.

Menurutnya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan terhadap dua individu di Taman Ampang Mewah di sini pada Khamis lalu.

“Suspek pertama diberkas merupakan suami mangsa berumur 39 tahun serta memiliki rekod jenayah lampau manakala suspek kedua merupakan rakannya yang berumur 30 tahun dan bekerja sebagai pembantu tahfiz.

“Siasatan dijalankan mendapati kejadian berpunca mangsa enggan mengikuti suspek untuk bercuti di Kelantan serta enggan untuk mendaftar taraf perkahwinan,” jelasnya.

Tambah Mohd Azam, kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*