Ahli Parlimen DAP beri cadangan bantu PAS tarik sokongan bukan Islam

Seorang ahli parlimen DAP mengalu-alukan hasrat Abdul Hadi Awang untuk menarik sokongan masyarakat bukan Islam terhadap PAS.

Malah Lim Lip Eng menawarkan tiga kaedah yang difikirkannya mampu membantu PAS mendapatkan sokongan tersebut.

Pertama kata Lim, Abdul Hadi dan PAS perlu bersetuju dengan pandangan bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi.

Kata ahli parlimen Kepong berkenaan, pendirian tersebut sudah diakui tiga perdana menteri terawal Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn.

“Seterusnya pemimpin PAS perlu berhenti melabel orang bukan Muslim sebagai kafir kerana perkataan tersebut sering dihamburkan kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia dan secara tidak langsung memberi persepsi buruk kepada kaum-kaum lain yang bukan beragama Islam.

“Abdul Hadi dan PAS perlu bersetuju bahawa terma tersebut hanya mendatangkan kesan buruk dan mengganggu keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Abdul Hadi meminta ahli PAS menarik undi masyarakat bukan Islam pula selepas mereka berjaya menguasai sokongan Melayu.

Kata ahli parlimen Marang itu, langkah tersebut penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun serta bijaksana dalam usaha mereka mendapatkan kuasa pada PRU ke-16 nanti.

Dia turut mengakui bedah siasat PAS mendapati bahawa parti itu lemah dalam usaha menarik sokongan bukan Melayu.

Lim berkata langkah ketiga yang perlu diambil PAS – khususnya Abdul Hadi – ialah mengakui bahawa isu rasuah sudah begitu meluas di negara ini dan tidak hanya membabitkan masyarakat bukan Islam.

Harap dapat sambutan

Katanya sebelum ini Abdul Hadi dan PAS menuding jari kepada masyarakat bukan Islam sebagai pihak yang terbabit dalam amalan rasuah di negara ini.

“Kenyataan-kenyataan pukul rata tanpa bukti PAS hanya mengeruhkan keadaan dan tidak membantu memupuk budaya perpaduan antara kaum di Malaysia,” katanya yang juga anggota Jawatankuasa Tertinggi DAP Pusat.

Untuk rekod dakwaan Abdul Hadi mengenai pembabitan orang bukan Islam dan bukan Melayu dalam kegiatan rasuah turut ditegaskan beberapa pemimpin PAS.

Bagaimanapun individu yang bertanggungjawab menghasilkan kajian yang dipetik PAS itu mengingatkan bahawa tidak wajar mana-mana pihak menggunakan data berkenaan secara melulu.

Menurut Christine Chong Siew Pyng yang menghasilkan kajian bagi tesis ijazah doktor falsafahnya, memang dapatan tersebut dibuat berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sekadar berkongsi dengan anda, kertas saya adalah mengenai pemberi rasuah dan memang statistik pemberi rasuah yang disabitkan SPRM 2010-2014 menunjukkan kira-kira 88 peratus adalah bukan Melayu.

“Tesis saya juga mendapati kira-kira 82 peratus pemberi/penerima rasuah yang disabitkan bersalah adalah Melayu,” katanya.

Lim berkata cubaan PAS mahu menarik sokongan bukan Muslim menunjukkan parti itu mahu membuktikan mereka bukanlah pertubuhan politik melampau.

Ketika sentimen agama dan perkauman sering menjadi bahan tunggangan parti-parti politik, katanya, penting untuk PAS tampil sebagai pertubuhan yang menghormati hak kumpulan bukan Islam.

“Saya harap Abdul Hadi dan PAS menyambut baik tiga cadangan saya dan cuba memperbaiki pendekatan mereka dengan masyarakat bukan Islam.

“Sudah tiba masanya untuk kita menerajui politik negara dengan perbincangan yang berteraskan polisi, dan mengetepikan permainan sentimen agama dan kaum,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*