Kelicikan sembilan peniaga warga asing termasuk pemegang kad Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) mengambil kesempatan berniaga secara haram dalam kawasan pangsapuri di Taman Sentosa di sini terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.
Serbuan selama enam jam bermula pukul 8 malam pada Jumaat lalu itu turut mendapati ada yang menjalankan kedai nombor ekor dengan lokasi itu menjadi tumpuan susulan terdapat asrama pekerja asing.
Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Perbandaran Klang (MPK), Norfiza Mahfiz berkata, berdasarkan pemeriksaan mendapati peniaga terdiri daripada warga Bangladesh, Rohingya dan Pakistan berusia 30 hingga 40an.
Katanya, mereka menjalankan perniagaan seperti kedai runcit, gunting rambut dan jahit pakaian sejak dua bulan lalu.
“Ada antara premis ini dijalankan oleh seorang wanita yang merupakan pemegang kad UNHCR selain seorang lelaki warga Indonesia bertaraf pemastautin tetap menjalankan kedai nombor ekor tanpa lesen.
“Kita tidak menolak kemungkinan perniagaan ini wujud dan mendapat permintaan khususnya di kalangan warga asing susulan terdapat asrama pekerja asing disediakan di pangsapuri tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan pihaknya tidak berkompromi dengan dua kompaun telah dikeluarkan selain lapan sitaan terhadap premis tersebut.
Tambah Norfiza, dua notis turut dikeluarkan bagi pemberhentian aktiviti perniagaan serta-merta.
“Semua tindakan dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil MPK. Kita akan memperhebatkan operasi berkenaan dari masa ke masa terutama lokasi tumpuan warga asing.
“Malah, MPK juga tidak mengeluarkan lesen kepada warga asing untuk berniaga,” katanya.
Leave a Reply