Seorang pemandu lori dan kelindannya terkejut apabila terserempak dengan seekor harimau belang yang berkeliaran di Jalan Gua Musang-Jeli, dekat Bukit Meranto.
Dalam kejadian jam 4 petang semalam itu, pemandu lori, Che Fiti Zulhilmi Che Leh, 22, sempat merakamkan aksi haiwan itu.
Che Fiti Zulhilmi berkata, ketika kejadian dia bersama kelindan, Mohd Amir Saari, 25, dalam perjalanan pulang dari Jeli menuju ke Gua Musang.
“Sebenarnya semalam dua kali saya terserempak dengan harimau belang di lokasi sama.
Gambar harimau belang yang sempat dirakam Che Fiti Zulhilmi di Jalan Gua Musang-Jeli, berhampiran Bukit Meranto, di sini, semalam.
“Pada pagi saya hanya sempat mengambil gambar ‘pak belang’ terbabit. Tetapi pada petangnya saya sempat merakam video dan dikongsikan di kumpulan WhatsApp,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, ini kali pertama dia terserempak haiwan liar itu walaupun menggunakan laluan terbabit setiap hari.
“Saya harap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat menangkap harimau belang ini kerana bimbang sekiranya ada kenderaan yang tidak nampak boleh menyebabkan kemalangan.
“Haiwan itu kelihatan berkeliaran di jalan utama dari Gua Musang ke Jeli,” katanya.
Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan menerima aduan berkaitan kejadian itu, semalam.
“Pihak kami sudah ke tempat kejadian dan menjalankan siasatan,” katanya.
Leave a Reply