Lelaki serang anggota polis guna senjata tajam maut ditembak

Seorang lelaki berusia 33 tahun maut ditembak selepas disyaki menyerang anggota polis dengan menggunakan senjata tajam di Kampung Joh, Labok, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Mohd Ali Tamby, berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi, anggota bertugas berkereta peronda dari IPD Machang menerima aduan orang awam terdapat sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna putih dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Joh, Labok.

“Kenderaan peronda polis telah bergerak ke lokasi berkenaan dan terserempak dengan kereta yang dinaiki oleh dua orang lelaki.

“Menyedari kehadiran polis, kereta tersebut memecut melarikan diri dan dikejar oleh kereta peronda polis melalui jalan Machang ke arah Kota Bharu sambil pihak polis memberikan arahan dengan pembesar suara untuk suspek berhenti,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Ali berkata semasa kejadian itu turut berlaku beberapa kali pelanggaran antara kereta suspek dengan kenderaan peronda polis hingga menyebabkan kereta suspek terbabas ke kanan jalan di kawasan Kampung Labok.

“Semasa anggota kereta peronda turun untuk membuat pemeriksaan, pemandu kereta (suspek) keluar menyerang anggota polis sambil memegang senjata tajam dan pada masa sama anggota berkenaan memberikan amaran sebelum terpaksa bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaki suspek untuk mempertahankan diri, namun suspek bertindak meluru masuk ke bahagian pemandu kenderaan peronda polis serta melarikan kenderaan peronda ke arah Kota Bharu.

“Bagaimanapun, kenderaan peronda polis yang dilarikan dijumpai berhenti di tepi jalan dengan jarak lebih kurang 4km dari lokasi kejadian di kawasan Pulai Chondong sebelum mendapati suspek meninggal dunia di kerusi pemandu dalam kereta peronda dan mayat suspek dihantar ke Hospital Machang untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, seorang rakan suspek iaitu lelaki berumur 43 tahun berjaya ditahan di tempat kejadian manakala suspek yang mati itu berasal dari Pengkalan Chepa dan mempunyai beberapa rekod jenayah.

Katanya, siasatan lanjut mendapati sebelum kejadian suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri lembu di Kawasan Kampong Joh, Labok, ekoran terdapat seekor lembu yang baru disembelih di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek, menjumpai peralatan mencuri lembu seperti beberapa utas tali, picagari yang mengandungi cecair dipercayai ubat pelali, sebilah parang, pisau, pengasah dan dokumen pengenalan diri milik seorang lelaki beralamat di Sungai Besar, Selangor turut dirampas.

“Kes disiasat bawah Seksyen 307, 379, 379A, 186 Kanun Keseksaan dan 42(1) APJ (Akta Pengangkutan Jalan),” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*