Bekas ketua polis negara nikah buat kali ketiga

Bekas ketua polis negara, Musa Hassan, dilaporkan mendirikan rumah dengan seorang wanita bernama Qistina Lim. Ia merupakan perkahwinan ketiga Musa.

Menurutnya laporan BH Online, majlis resepsi perkahwinan mereka berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam.

Musa sebelum ini dilaporkan melalui proses penceraian dengan Elly Afizahwati Abdul Jalil selepas isteri keduanya memfailkan permohonan cerai.

Mereka berkahwin pada 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Isteri pertama Musa, Juriah Ahmad, meninggal dunia pada 2019 dengan meninggalkan empat anak hasil perkongsian hidup mereka.

Musa pada 1998 mendapat perhatian negara atas peranannya sebagai pegawai penyiasat berhubung dakwaan liwat membabitkan Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri.

Pendakwa raya pada mulanya mendapat sabitan kes tetapi Anwar akhirnya dibebaskan Mahkamah Persekutuan.

Sedekad kemudian Musa menjadi ketua polis negara apabila polis menyiasat semula Anwar atas satu lagi dakwaan kes liwat.

Anwar disabitkan di mahkamah sebelum mendapat pengampunan diraja pada 2018.

Musa bersara daripada pasukan polis pada 2010 dan menjalani kehidupan yang agak tenang.

Namun pada awal tahun ini, satu rakaman video muncul memaparkan Musa bertengkar dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Elly Afizahwati ketika kes penceraian mereka belum selesai.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*