Polis temui 3 mayat disyaki dibunuh dalam stor rumah

Polis menemui tiga mayat lelaki disyaki dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah sewa di Jalan Perhentian Kampung Kovil Hilir, Sentul, malam tadi.

Mayat ditemui sepasukan anggota polis kereta peronda (MPV) yang bergegas ke lokasi selepas menerima laporan berlaku pergaduhan di tingkat dua premis rumah kedai berkenaan, kira-kira 11 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid berkata mayat ditemui dalam keadaan bertindan dalam sebuah bilik stor rumah berkenaan dengan tangan kanan dan kaki mereka berikat dengan kepala disarung plastik.

Katanya, satu mayat dalam keadaan berbogel dengan kesan kelar dan polis turut menemui sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kes itu.

Menurut Allaudeen, rumah sewa lima bilik itu disewa pasangan suami isteri warga Sri Lanka, berusia lingkungan 40-an serta seorang anak lelaki berusia 20-an dan dua lagi lelaki rakan senegara berusia antara 20-an hingga 30-an.

“Pergaduhan itu dipercayai berlaku antara pasangan suami isteri itu dengan dua lelaki warga Sri Lanka didakwa rakan mereka dari Klang yang datang melawat dan bermalam di situ sejak dua hari lalu.

“Bagaimanapun, ketika polis sampai, kedua-dua lelaki terbabit sudah melarikan diri dan mereka kini menjadi suspek utama dalam kejadian pembunuhan ini,” katanya menurut Berita Harian.

Katanya, ketika polis tiba di lokasi, pasangan suami isteri itu dipercayai tidak menyedari berlaku pembunuhan dalam rumah membabitkan anak lelaki mereka dan dua lagi penghuni.

Beliau berkata kejadian dipercayai dirancang awal oleh suspek dan siasatan mendapati mereka mengenali pasangan suami isteri terbabit sejak enam bulan.

Bagaimanapun kata beliau, pihak polis belum dapat memastikan motif pembunuhan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Hasil soal siasat ke atas pasangan suami isteri terbabit, kita berjaya kenal pasti identiti kedua-dua suspek dan usaha mengesan mereka kini sedang dijalankan. Mereka juga mendakwa kali terakhir bertemu dengan anak mereka sehari sebelum kejadian.

“Pasangan suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 29 September untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*