Pertikai kuasa Lembaga Pengampunan, polis cadang Hadi dituduh

Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya telah selesai mengambil keterangan Ahli Parlimen Marang itu di Ibu Pejabat PAS hari ini.

Pertikai kuasa Lembaga Pengampunan, polis cadang Hadi dituduh.

Polis akan mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menuduh Presiden PAS Hadi Awang di mahkamah berhubung ucapannya yang dipercayai mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan di Bakri, Muar, bulan lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata pihaknya telah selesai mengambil keterangan Ahli Parlimen Marang itu hari ini dan beliau menjawab lima daripada 24 soalan dikemukakan terhadapnya.

“Baki 19 soalan akan dijawab di mahkamah, beliau disiasat di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 233 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998).

“Kita akan panjangkan ke AGC untuk cadangan dituduh di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan (Seksyen) 233, sama ada tuduh atau tidak itu terpulang kepada penilaian AGC,” katanya pada sidang media.

Pada 26 Ogos lalu, Hadi dalam ceramah perdana Perikatan Nasional (PN) Johor di Bakri, dipercayai menyentuh bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah tidak sesuai ajaran Islam.

Terdahulu, pegawai penyiasat dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman selesai merakam keterangan Hadi di Ibu Pejabat PAS pada 1 tengah hari tadi.

Hadi disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Berhubung siasatan terhadap bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Ayob berkata pihaknya sedang menunggu arahan lanjut daripada AGC.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Mahathir disiasat kerana disyaki membuat kenyataan cenderung menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau perasaan tidak setia terhadap institusi diraja.

Mahathir juga menghadapi siasatan mengikut akta sama dengan Hadi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*