Identiti 6 sekeluarga maut kemalangan lima kenderaan dikenal pasti

Identiti enam sekeluarga yang terkorban dalam kemalangan menyayat hati membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat – Kuantan, petang semalam dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, nahas berlaku pada pukul 6.37 petang itu meragut nyawa pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46 serta lima lagi ahli keluarganya.

Identiti 6 sekeluarga maut kemalangan lima kenderaan dikenal pasti

Katanya, identiti lima mangsa yang lain ialah isteri Amir Ruddin, Norahimah Noor Muhamad, 43, dan anak mereka, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

“Siasatan awal dipercayai berlaku apabila sebuah Honda HR-V sedang bergerak dari arah Kuantan menghala ke arah Segamat telah memperlahankan kenderaan kerana dihadapannya terdapat kerja-kerja pembaikan jalan raya.

“Tiba-tiba sebuah treler yang membawa muatan pasir yang sedang bergerak dari arah yang sama gagal membrek dan hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Honda HR-V terbabit dan sebuah Proton Wira yang sedang berhenti.

“Honda HR-V terbabit yang dilanggar lori pasir berkenaan dan ia turut melanggar sebuah kereta Proton Wira sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa maut itu,” katanya.

Menurut Ahmad Zamry, lima kenderaan terlibat adalah sebuah Honda HR-V, Perodua Alza, Proton Wira, Perodua Bezza dan sebuah treler jenis Mercedes.

Katanya, seorang lagi mangsa yang juga penumpang kereta Perodua Alza, Abdullah Amir Ruddin, 15, dan pemandu lori sedang dirawat di Hospital Segamat akibat keced€raan parah pada bahagian dada dan badan.

Tambahnya, pemandu serta penumpang Honda HR-V, Proton Wira dan Perodua Bezza bagaimanapun terselamat.

“Polis memohon saksi yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan sebarang maklumat kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) ditalian 079325811 atau balai polis berhampiran,”katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*