Ancaman bom di Aeon Mall Klebang : Lelaki buat panggilan palsu undang padah

Seorang lelaki ditahan kerana disyaki membuat panggilan palsu berhubung ancaman bom di pusat beli-belah Aeon Mall Klebang, Ipoh semalam.

Warga tempatan berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Tasek, dekat Ipoh kira-kira 9.30 malam, hampir lima jam selepas laporan ancaman bom itu diterima.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, berdasarkan keterangan dan pengakuan, suspek bertanggungjawab terhadap panggilan ancaman bom itu kepada pengurusan pusat beli-belah.

“Polis turut merampas peranti komunikasi digunakan suspek untuk membuat panggilan tersebut.

“Suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, laporan ancaman bom itu diterima pada 4.50 petang daripada pekerja yang menerima panggilan daripada individu tidak dikenali.

Katanya, pemeriksaan menyeluruh dilakukan dengan bantuan Unit Pemusnah Bom IPK Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.

“Hasil pemeriksaan mengesahkan tiada sebarang objek meragukan ditemui. Selepas keadaan selamat, semua kakitangan dibenarkan masuk semula pada 10.30 malam,” katanya yang meminta orang ramai tidak membuat panggilan ancaman bom palsu sewenang-wenangnya.

“Keadaan ini hanya menimbulkan ketakutan kepada orang ramai dan menggugat ketenteraman awam.”

Semalam, bangunan Aeon Mall Klebang dikosongkan susulan panggilan ancaman bom. Ia dibenarkan beroperasi seperti biasa hari ini susulan pengesahan pihak berkuasa terhadap keselamatan bangunan itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*