Dalam tempuh 6 hari mangsa scam Johor rugi lebih RM2.2 juta

Sejumlah 35 mangsa kes penipuan penyamaran dalam talian atau “phone scam” dan penipuan pelaburan tidak wujud melibatkan kerugian lebih RM2.2 juta dilaporkan dalam tempoh enam hari di Johor.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat, berkata sebanyak 22 kertas siasatan dibuka bagi “phone scam” dengan kerugian keseluruhan bernilai RM1.438 juta.

Beliau berkata, 13 kertas siasatan pula dibuka bagi kes pelaburan tidak wujud melibatkan mangsa berusia dalam lingkungan 35 hingga 80 tahun dengan kerugian RM808,564 dalam tempoh sama.

Katanya, dua daripada kes berkenaan mencatatkan kerugian melebihi RM200,000 melalui tawaran pelaburan menerusi laman Facebook.

”Kebanyakan mangsa ‘phone scam’ berusia antara 40 hingga 60 tahun daripada pelbagai kategori pekerjaan mengalami kerugian antara RM2,000 hingga RM284,831,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, tiga daripada 22 kes “phone scam” mencatatkan kerugian melebihi RM200,000 menerusi penyamaran sebagai anggota polis dan pegawai bank.

“Kes penyamaran dalam talian ini kebiasaannya menyamar sebagai pihak penguatkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta beberapa agensi lain termasuk syarikat penghantar.

“Sindiket ini akan menghubungi mangsa dan menyatakan mangsa terlibat dengan kegiatan menyalahi undang-undang dan akaun bank mereka akan dibekukan, seterusnya ditangkap,” katanya.

Beliau berkata, panggilan itu akan disambung ke agensi berlainan dan menawarkan penyelesaian kes dengan mangsa perlu membuat sejumlah bayaran atau memindahkan wang ke dalam akaun atas alasan untuk siasatan dan wang akan dikembalikan.

“Seterusnya, mangsa yang panik dan takut akan ikut arahan dan sedar ditipu selepas suspek gagal dihubungi,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*