Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata sekurang-kurangnya enam mayat nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie, berhampiran kawasan kediaman Elmina telah dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Beliau berkata mayat terbabit ditemui dalam pencarian meliputi keluasan lebih satu ekar setakat ini.
“Mayat ada enam yang dijumpai satu dalam keadaan sempurna, manakala lima lagi merupakan cebisan mayat,” katanya selepas meninjau operasi di lokasi.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan 10 terkorban dalam nahas 2.45 petang itu.
Mereka yang terkorban adalah juruterbang dan pembantunya, enam penumpang termasuk exco Pahang Johari Harun serta dua pengguna jalan raya yang dirempuh pesawat berkenaan ketika terhempas.
Pesawat milik Jet Valet Sdn itu berlepas dari Langkawi dan dilaporkan telah diberi kebenaran oleh menara kawalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk mendarat pada jam 2.40 petang.
Bagaimanapun, pesawat jenis Beechcraft Model 390 dengan nombor pendaftaran N28JV itu dilaporkan terhempas dua minit sebelum dijadualkan untuk mendarat.
Sementara itu, Razarudin berkata identiti mangsa pembonceng motosikal dan pemandu kereta terbabit telah dikenal pasti manakala waris mereka juga sudah dimaklumkan.
“Apabila kita dah jumpa, kita semak badannya, jam dan sebagainya, selepas itu baru kita bawa (ke hospital),” katanya memaklumkan semua mayat akan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses pengecaman.
Menurutnya, operasi membabitkan 240 anggota antaranya polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
- Turut baca : {VIDEO} Kronologi pesawat terhempas di Elmina
Leave a Reply