‘Saya bukan antara mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina’, kata anak Jamaludin Jarjis

Anak lelaki Allahyarham Tan Sri Dr Jamaludin Jarjis, Ikwan Hafiz menafikan beliau antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, petang tadi.

Ikwan Hafiz, 36, berkata laporan yang disiarkan dalam media utama menyatakan namanya antara yang tersenarai menaiki pesawat ringan berkenaan adalah tidak benar dan palsu.

“Saya kesal dengan tindakan dilakukan segelintir pengamal media yang tidak bertanggungjawab dan menyiarkan berita secara melulu, tanpa sebarang semakan sehingga menimbulkan spekulasi yang mengganggu ketenteraman keluarga.

“Sehubungan itu, saya meminta masyarakat umum menghentikan penyebaran berita palsu berkenaan. Pada masa sama, saya mewakili pihak keluarga ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, polis mengesahkan orang kenamaan antara 10 maut dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, dekat sini, petang tadi.

Antara yang terkorban ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*