Rogol dua anak, bapa hanya mampu geleng kepala, dijel 702 tahun, 234 sebatan

SEORANG bapa yang dituduh merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua anaknya dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Mua

Rogol dua anak, bapa hanya mampu geleng kepala, dijel 702 tahun, 234 sebatan.

Seorang bapa dihukum penjara selama 702 tahun dan 234 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam selepas mengaku bersalah merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua anaknya sejak enam tahun lalu sehingga seorang daripada mangsa hamil.

Hampir sejam masa diambil jurubahasa untuk membaca kesemua pertuduhan serta fakta kes dengan tertuduh yang dilihat hanya mampu tunduk sambil menggeleng-gelengkan kepala.

“Saya terima hukuman ini atas perbuatan dilakukan,” kata tertuduh sebelum hukuman terhadapnya dibacakan oleh Hakim Abu Bakar Manat.

 Rogol dua anak, bapa hanya mampu geleng kepala, dijel 702 tahun, 234 sebatan

Walau bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.

Itu bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun, namun hukuman sebatan kekal 234 kali. Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah sebanyak 24 kali.

Tertuduh yang juga pekerja pembersihan didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap dua anaknya yang kini masing-masing berusia 12 dan 15 tahun dengan seorang daripadanya hamil lima minggu.

Tertuduh yang berusia 53 tahun menghadapi 30 pertuduhan dengan 19 daripadanya membabitkan kesalahan rogol, manakala 11 lagi kes cabul ke atas kedua-dua anaknya.

Abu Bakar semasa membacakan keputusannya berkata, tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandungnya selain seorang daripadanya sudah hamil.

“Mangsa ketika itu adalah kanak-kanak dengan kesalahan dilakukan kamu sangat berat. Justeru, saya berharap dengan hukuman ini, kamu bertaubat dan belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.

“Mengambil kira pengakuan bersalah kamu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan merogol, 10 tahun penjara serta dua sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal serta tambahan hukuman bagi Seksyen 16 (1) Kanun Keseksaan, iaitu dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu di dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, di sini.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan serta bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar membuat laporan polis selepas mendapati salah seorang mangsa hamil ketika mendapatkan rawatan akibat sakit dada.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*