TERIMA padahnya! Mahkamah Sesyen Muar hari ini menjatuhkan hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan kepada seorang bapa durjana selepas mengaku bersalah merogol dan amang seksual fizikal terhadap dua anaknya sejak enam tahun lalu.
Julai lalu, kejadian yang berlaku di Muar, Johor itu terbongkar setelah salah seorang anak itu sakit dan dibawa ke hospital.
Lelaki berusia 53 tahun itu melakukan perbuatan terkutuk tersebut sejak kira-kira tujuh tahun lalu dengan kejadian terakhir dikatakan berlaku awal bulan Julai. Difahamkan suspek didakwa merogol seorang mangsa sejak berusia sembilan tahun dan perbuatan berkenaan dikatakan kerap kali berlaku di rumah mereka.
Sepanjang tempoh berkenaan, dua beradik itu sering dijadikan hamba seks bapa mereka. Mangsa tidak berani menceritakan kejadian terbabit kepada sesiapa sehingga perbuatan bapanya itu terbongkar.
Menurut laporan portal tempatan, hari ini hukuman dijatuhkan kepadanya dan dia terima hukuman itu atas perbuatan dilakukan. Berikut tujuh info berkaitan;
1. Mahkamah Sesyen Muar menjatuhkan hukuman penjara 702 tahun dan 234 sebatan. Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan semua hukuman penjara dijalankan serentak bermula dari tarikh ditahan 10 Julai lalu, manakala sebatan secara berasingan.
2. Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 42 tahun namun hukuman sebatan kekal 234 kali.
3. Namun, Seksyen 288 Kanun Prosedur Jenayah hanya membenarkan maksimum hukuman sebatan adalah 24 kali.
4. Tertuduh, yang juga pekerja pembersihan didakwa melakukan perbuatan jijik terhadap dua anaknya yang kini masing-masing berusia 12 dan 15 tahun dengan seorang daripadanya hamil lima minggu.
5. Tertuduh yang berhadapan 30 pertuduhan dengan 19 daripadanya membabitkan kejadian rogol manakala 11 lagi kes cabul kehormatan dua anaknya, terlebih dahulu mengaku bersalah selepas setiap pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
6. Hampir sejam masa diambil jurubahasa untuk membaca kesemua pertuduhan serta fakta kes dengan tertuduh yang dilihat hanya mampu tunduk sambil geleng kepala.
7. Abu Bakar dalam prosiding berkata, tidak ada faktor yang boleh dipertimbangkan untuk hukuman terhadap tertuduh kerana mangsa adalah anak kandungnya selain seorang daripadanya sudah hamil.
“Mangsa ketika itu adalah kanak-kanak dengan kesalahan dilakukan kamu sangat berat. Justeru, saya berharap dengan hukuman ini, kamu bertaubat dan belajar daripada kesilapan yang telah dilakukan.
“Mengambil kira pengakuan bersalah kamu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun serta 10 sebatan bagi setiap pertuduhan merogol, 10 tahun penjara serta dua sebatan bagi kesalahan amang seksual fizikal serta tambahan hukuman bagi Seksyen 16 (1) Kanun Keseksaan iaitu dua tahun penjara dan dua sebatan bagi setiap pertuduhan,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu sejak 2017 ketika salah seorang mangsa berusia 10 tahun dengan kejadian terakhir berlaku pada 4 Julai lalu membabitkan dua lokasi berasingan di Jeram dan Bakri, di sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 kali sebatan.
Bagi Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Mengikut fakta kes, pegawai perubatan dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar membuat laporan polis selepas mendapat salah seorang mangsa hamil ketika mendapat rawatan akibat sakit dada.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kertas siasatan yang dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya berjaya memperoleh arahan sebanyak 30 pertuduhan terhadap suspek.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Leave a Reply