Dakwa UMNO tak relevan : Datuk Johari tempelak Muhyiddin, ‘yang menang banyak PAS… bukan BERSATU’

“Dia (Tan Sri Muhyiddin Yassin) cakap Umno tak relevan…. yang menang banyak Pas bukan Bersatu,” kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Johari memberi reaksi itu ketika ditanya pemberita berhubung kenyataan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang mengatakan Umno sudah menjadi tidak relevan dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, semalam.

Menurutnya, dalam politik jatuh dan bangun adalah perkara biasa dan tidak sepatutnya pihak berkenaan ‘menekan’ pihak lain apabila mereka juga disifatkan kalah.

Katanya, ini kerana pihak berkenaan juga tidak memenangi semua kerusi ditandingi dan kalah sebanyak 40 kerusi daripada 79 yang ditandingi dalam PRN di enam negeri.

“Biasalah ‘up’ and ‘down’ (turun dan naik) dalam politik, janganlah nak tekan-tekan orang bila sudah kalah. Menang pun belum tentu tubuh kerajaan, baru 3-3,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Sumbangan kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTS) di Taman Maluri.

Pada program berkenaan seramai 100 pelajar di kawasan Parlimen Titiwangsa menerima sumbangan sebanyak RM1,000 bagi membantu urusan kemasukan ke universiti yang mana ia juga bagi menaikkan semangat dan moral pelajar terutama golongan B40 dalam pendidikan.

Semalam media melaporkan, PN mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab moral, meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta-merta.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata, kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu dalam PRN menandakan gabungan itu adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.

Selain itu, beliau dipetik berkata, Umno sudah tidak relevan dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*