SUDAH menjadi kebiasaan orang ramai melakukan aktiviti meraih undi dengan mengibarkan bendera parti politik sambil menunggang motosikal di atas jalan raya sambil konvoi beramai-ramai pada malam semalam sebelum pilihan raya berlangsung keesokan harinya.
Walaupun tujuan utama untuk memeriahkan kempen pilihan raya, namun aktiviti yang dilakukan itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain serta mengganggu ketenteraman awam kerana bunyi bising yang dibuat kumpulan terbabit.
Tular di media sosial, seorang penunggang motosikal diheret dua orang individu kerana dipercayai melakukan kesalahan jalan raya ketika sedang melakukan aktiviti meraih undi itu.
Penunggang motosikal yang memakai bendera parti politik itu dipercayai melakukan kesalahan jalan raya sehingga menyebabkan dua orang individu itu mengheretnya ke sebuah Ibu Pejabat Polis (IPD) di Pantai Timur.
Menerusi video yang dikongsikan Edisi Siasat dalam Twitter, lelaki itu diheret dari motosikal dengan kasar oleh dua individu itu sehingga jatuh ke tanah meskipun berada di hadapan IPD.
Selepas menjatuhkan suspek, seorang lelaki kemudiannya membawa kenderaan itu ke dalam kawasan balai polis.
Berdasarkan komen di media sosial, suspek disyaki terlebih dahulu dipercayai melakukan provokasi dengan membaling mercun ke arah anggota polis.
Disebabkan perbuatannya itu, suspek telah dibawa ke balai polis untuk diambil tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, polis sedang menjalankan siasatan berhubung video membabitkan suspek dikasari anggota polis di hadapan sebuah IPD di Pantai Timur, yang tular di media sosial pada Sabtu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mungkin terdapat provokasi yang menyebabkan kejadian itu berlaku.
“Saya sahkan insiden itu berlaku di sebuah IPD di Pantai Timur dan kita masih jalankan siasatan berhubung kejadian berkenaan.
“Mungkin ada provokasi berlaku sebelum kejadian berkenaan dirakam,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Klang Gate, Hulu Kelang, Selangor pada Sabtu.
Leave a Reply