Dakwa salahguna kuasa : Hamzah dicabar teruskan saman, SPRM tidak akan tunduk pada ancaman – Azam Baki

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya yang pihaknya menyalahgunakan kuasa dan bertindak dengan cara “politik partisan”, seperti didakwa bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin.

Ia susulan tindakan setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu menghantar surat tuntutan kepada SPRM, ketua pesuruhjayanya Azam Baki, dan kerajaan, menuduh mereka “menyalahgunakan kuasa, berkomplot untuk memburukkan reputasinya sebagai ketua pembangkang, dan melakukan misfeasans dalam jawatan awam”.

Bagaimanapun, Azam berkata beliau mahupun SPRM belum menerima surat tuntutan itu setakat ini.

Sebagai respons kepada dakwaan Hamzah, Azam berkata, agensi antirasuah itu tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman terhadapnya.

“Kami nafi dakwaan salah guna kuasa. Ini negara bebas, dan sesiapa sahaja boleh menyaman sesiapa, kami tidak akan tunduk pada sebarang ancaman.

“Teruskan saman kami, dan (kita) biar mahkamah tentukan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu pada sidang media, Hamzah menyelar agensi itu kerana dikatakan menekan ahli perniagaan Sim Choo Thiam untuk mengaitkannya dengan kes rasuah RM15 juta.

Hamzah turut membacakan laporan polis dibuat Sim pada Jun lalu, yang menyatakan pegawai SPRM mengancamnya dengan tindakan jenayah dan penahanan melainkan beliau mengaitkan Hamzah dalam salah laku yang didakwa berlaku.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*