Maut selepas terjebak besarkan payudara, keluarga mangsa akan buat aduan rasmi kepada JKNJ

JOHOR BAHRU: Keluarga wanita yang maut selepas menjalani prosedur membesarkan payudara baru-baru ini bersetuju membuat aduan secara rasmi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

Suaminya yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 35, memberitahu, pihaknya akan membuat aduan dalam waktu terdekat untuk menuntut pembelaan terhadap mendiang isterinya, selain tidak mahu insiden sama berulang pada masa depan.

“Ya, saya akan buat aduan rasmi secepat mungkin, sebelum ini saya sudah buat laporan polis tentang insiden kematian isteri Ahad lalu. Jadi, selepas ini aduan kepada Jabatan Kesihatan pula.

“Saya harap ada tindakan undang-undang tegas dapat dikenakan terhadap pengusaha rawatan kecantikan itu. Mereka beroperasi di kawasan kediaman dan dipercayai tidak mempunyai lesen untuk berbuat demikian,” katanya.

Tambah Wong, keputusan bedah siasat pertama yang dijalankan terhadap isterinya mendapati bahagian payudara mangsa dipenuhi kuman.

“Keputusan bedah siasat kedua pula hanya akan diperoleh dalam tempoh tiga bulan selepas sampel darah isteri dihantar ke makmal,” jelasnya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon menasihati keluarga berkenaan untuk membuat aduan rasmi kepada JKNJ dengan segera supaya kes itu dapat disiasat di bawah Akta 586.

“Akta 586 ialah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Siswa 1998 bagi memastikan pusat rawatan kecantikan tersebut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mempunyai lesen profesional yang berkaitan,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan mangsa yang merupakan ibu kepada dua orang anak lelaki berusia sembilan dan 12 tahun maut selepas menjalani prosedur membesarkan payudara di sebuah kediaman dua tingkat di Taman Mutiara Rini, Skudai pada 29 Julai lalu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*