SPRM akan mohon bantuan Interpol cari menantu Muhyiddin

SPRM sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan bantuan Interpol untuk mengesan menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, kata ketua pesuruhjayanya, Azam Baki.

“Kami mengesyaki dia berada di negara tertentu tetapi kami belum boleh dedahkan negara itu,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Pada 7 Ogos, SPRM mengumumkan pihaknya sedang memburu Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69. Adlan berkahwin dengan Nabilah, anak kedua Muhyiddin.

Menurut SPRM, kedua-dua mereka meninggalkan negara pada 17 dan 21 Mei lalu. Tiada rekod menunjukkan mereka pulang ke tanah air.

SPRM berkata, mereka dikehendaki bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Sementara itu, Azam berkata kedua-dua lelaki itu melarikan diri dari Malaysia selepas menyedari nama mereka dimasukkan dalam ‘wanted list’ (orang dikehendaki) agensi itu.

Bagaimanapun, tidak jelas jika sama ada mereka akan didakwa atau bantuan mereka diperlukan untuk membantu siasatan bagi membolehkan pertuduhan dikenakan terhadap individu lain.

Azam berkata, notis berulang kali kepada kedua-dua mereka supaya tampil merakamkan kenyataan tidak diendahkan, sehingga memaksa SPRM mengeluarkan kenyataan melalui akhbar.

“Kedua-dua mereka ini juga diperlukan untuk tindakan (pendakwaan) mahkamah. Mereka disenaraikan dalam ‘orang dikehendaki’ apabila gagal hadir.

“Kami sedang dapatkan bantuan polis dan jabatan imigresen untuk bekukan pasport (dua individu itu),” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Ketika ditemui pemberita semalam, Muhyiddin enggan mengulas perkara itu.

Muhyiddin, yang juga berdepan pertuduhan rasuah, tetapi mendakwa kerajaan Pakatan Harapan-BN mengamalkan “pendakwaan politik terpilih”.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*