Kartel dadah guna trak raksasa dilengkapi senjata lawan polis

BANDAR RAYA MEXICO – Kartel-kartel dadah di Mexico menggunakan trak raksasa dilengkapi perisai dan senjata seperti meriam mesingan dalam salah satu taktik mereka untuk melawan kumpulan seteru serta polis, lapor akhbar Daily Mirror.

Trak-trak tersebut dikenali sebagai ‘monstruos’, ‘rinocerontes’ atau ‘narcotanques’.

Penganalisis keselamatan dan pakar kanan Inisiatif Global Menentang Jenayah Terancang Transnasional berpangkalan di Switzerland, Romain Le Cour berkata, penggunaan trak raksasa oleh kartel dadah Mexico adalah cara organisasi jenayah itu menunjukkan kekuasaan mereka.

Le Cour turut membandingkan kumpulan bersenjata kartel dengan unit ala komando yang bertujuan meniru taktik, persenjataan dan penampilan pasukan elit.

Trend trak bersenjata muncul dalam dekad sebelum ini dengan penglibatan bekas askar-askar elit dalam ranking kartel dadah.

Pengeluaran trak raksasa seumpama itu kekal teguh meskipun pihak berkuasa beberapa kali melakukan rampasan.

Ia kebiasaannya diubah suai daripada pikap standard atau kenderaan yang lebih besar, manakala kartel menyesuaikannya dengan ciri-ciri seperti tayar kalis peluru dan turet.

Namun, trak itu mempunyai kelemahan iaitu ia sukar dipandu dan perlahan terutamanya di kawasan bandar. – AGENSI

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*