Kenyataan berbaur fitnah, Vincent Tan tuntut Sanusi ganti rugi RM200 juta

Pengasas Berjaya Vincent Tan menuntut Sanusi Nor membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataan berunsur “fitnah” menteri besar Kedah itu mengenai projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Vincent dan syarikatnya Berjaya Land Berhad turut menuntut pampasan sebanyak RM200 juta.

Syarikat itu dalam kenyataan berkata, satu surat tuntutan dihantar kepada Sanusi pada 5 Ogos lalu menuntut beliau menarik balik kenyataan itu tanpa syarat, memohon maaf secara terbuka, memberi jaminan tidak mengulangi tuduhan itu dan membayar pampasan sebanyak RM200 juta.

“Sekiranya Sanusi gagal mematuhi tuntutan itu menjelang 8 Ogos ini, satu tindakan undang-undang akan diambil terhadap beliau.

“Pada masa sama, Vincent dan Berjaya Land turut membuat laporan polis terhadap Sanusi dan beberapa individu termasuk Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin (lebih dikenali sebagai Chegubard) dan Raja Petra Kamarudin atas kenyataan berunsur fitnah berkait projek SMG,” kata kenyataan itu.

Katanya, kenyataan-kenyataan “fitnah” itu mencemarkan integriti, reputasi dan imej Vincent serta syarikat Berjaya Land.

“Tuduhan yang dilemparkan ini telah menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta inisiatif kedermawanan yang sah,” katanya.

Sanusi ketika Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, minggu lalu mendakwa wujud skandal antara Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dengan Vincent kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan negeri sekitar RM180 juta.

Susulan kenyataan itu, Amirudin berkata beliau akan menyaman Sanusi dan proses tindakan undang-undang terhadap pengarah pilihan raya Perikatan Nasional sudah dimulakan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*