Misteri Empat ‘lembaga hitam’ yang berada di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia antara PDRM FC dan Selangor FC, pada Khamis lalu akhirnya terjawab.
Kehadiran mereka itu bukanlah protes di atas penggantungan Faisal Halim selama empat bulan seperti yang didakwa beberapa penyokong Selangor sebaliknya ia promosi filem terbaharu berjudul ‘Rahsia’ yang bakal ditayangkan pada 10 Ogos ini.
Hal itu dapat dilihat apabila individu berpakaian serba hitam kelihatan hadir pada beberapa promosi filem berdasarkan beberapa gambar yang dikongsikan di media sosial baru-baru ini.
Untuk rekod, Rahsia adalah sebuah filem arahan Othman Hafsham yang menguasai pawagam pada 1987, diterbitkan sekali lagi dengan versi reboot atau penceritaan semula oleh anak sutradara tersohor berkenaan, iaitu Shamyl.
Rahsia yang diangkat Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, selain enam kategori lain pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-7, tampil dengan versi baharu yang membariskan pelakon terkenal iaitu Nabila Huda yang memegang watak Ramlah dan Fikry Ibrahim (Hamdan).
Dalam versi asal, watak Ramlah dibawa Noor Kumalasari, manakala Hamdan dilakonkan Allahyarham Shukery Hashim.
Pelakon lain Rahsia versi reboot adalah Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha, Mislina Mustaffa, Aloy Paradoks, Nabil Zakaria dan penampilan istimewa, Othman serta Susan Lankester.
Turut baca : Empat ‘lembaga hitam’ di Stadium MBPJ curi tumpuan
Leave a Reply