Polis akan memantau pegawai atau anggotanya dikesan mengamalkan gaya hidup mewah tidak setara dengan jawatan serta gaji mereka.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) akan melakukan “profiling” terhadap anggota didapati memiliki aset atau berbelanja lebih daripada gaji atau kemampuan mereka.
“Mengambil contoh, jika gaji pegawai itu RM8,000 dengan mempunyai tiga rumah dan tiga kereta. Kita akan siasat perbelanjaan rumah, kad kredit dan lain-lain, sama ada ia setara dengan pendapatan,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Bagi pegawai dan anggota terpalit fitnah atau dakwaan rasuah pula, katanya, JIPS akan menyiasat bagi memastikan kesahihan dakwaan itu sebelum mengambil tindakan sewajarnya.
“Setiap tohmahan yang dibuat, kita ada lakukan risikan dan siasatan. Bukan itu saja, tindakan juga diambil sekiranya mempunyai maklumat berkaitan anggota dan pegawai kita yang didapati berkaraoke atau mabuk di kelab malam.
“Ini salah satu prosedur operasi standard (SOP) JIPS bagi mengekang serta menyekat peluang warga PDRM terlibat dengan aktiviti tidak sihat.”
Razarudin berkata, setiap majlis keraian atau program di peringkat daerah, kontinjen mahupun Bukit Aman perlu dilaporkan kepada JIPS dan audit kewangan akan dilakukan bagi mengetahui sumber kewangan.
Katanya, tindakan tegas perlu bagi memastikan salah laku tidak terus menjadi kanser yang menghancurkan pasukan polis.
Beliau berkata, pasukan itu konsisten dan tidak berkompromi dengan pegawai melakukan kesalahan, dengan 447 pegawai serta anggota dikenakan hukuman dari 2020 hingga Jun lalu.
- Turut baca : Tawaran Debat REE : Saifuddin setuju, Sanusi tolak
Leave a Reply