Lelaki maut jatuh tingkat 29, kepala terputus

Lelaki ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya terputus dipercayai terjatuh dari tingkat 29 bangunan perniagaan di Bandar Utama di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang, mayat lelaki warga asing berusia 43 tahun itu ditemui orang awam yang berada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota Balai Polis Damansara bertindak ke lokasi untuk pemeriksaan sejurus menerima panggilan mengenai kejadian.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat lelaki terbaring di bahagian tepi bangunan dalam keadaan kepala terputus daripada badan.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja sebagai tukang cuci di sebuah restoran di tingkat 29 bangunan berkenaan.

“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki itu kelihatan berada di balkoni pada 2.46 petang sebelum kelibatnya tidak kelihatan lagi dipercayai terjatuh dari balkoni itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Fakhrudin, mayat lelaki terbabit dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Beliau meminta individu yang melihat atau berada di lokasi kejadian menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Fatin Afifa Shahpri di talian 013-7353589 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*