Dari Iskandar Puteri ke Simpang Renggam semata-mata untuk menyamun

Tiga lelaki berusia 25 hingga 40 tahun sanggup datang ke Simpang Renggam semata-mata untuk menyamun sebuah hotel menggunakan parang, pagi semalam.

Dari Iskandar Puteri ke Simpang Renggam semata-mata untuk menyamun
TANGKAP layar menunjukkan dua lelaki menyamun seorang penjaga hotel di Simpang Renggam.

Walau bagaimanapun, tindakan kumpulan lelaki dari Iskandar Puteri pada pukul 7.45 pagi itu membawa padah apabila mereka berjaya dikesan dan ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah Kluang pada pukul 6.50 petang hingga 11 malam hari yang sama dalam empat serbuan di Tanjung Kupang.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, hasil daripada penahanan tersebut, pihak polis berjaya merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, sebilah parang dan sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih.

“Turut dirampas, masing-masing sehelai baju T berwarna hitam, baju kelabu kolar bulat, kemeja berkotak warna biru merah.

“Peralatan lain yang dirampas ialah sekeping tapak pemegang nombor plat, satu keping nombor plat dipercayai palsu, sebatang spanar boleh laras, spanar bertulisan Cina, sepasang kasut serta selipar dan serangkai kunci,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Bahrin, semua tangkapan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah, manakala dua daripadanya positif dadah jenis meth.

Semua suspek kini ditahan reman selama hingga 1 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*