Lelaki ‘buang tebiat’ baring atas jalan diburu polis

Lelaki ‘buang tebiat’ baring atas jalan diburu polis. Polis mengesan seorang lelaki yang bertindak baring atas jalan berhampiran stesen minyak Petronas Gunung Lang dekat Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, dalam video tular di media sosial.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan, berkata video itu dikesan dimuat naik di Twitter pada 4.30 petang kelmarin namun tarikh dan masa sebenar kejadian belum dipastikan.

Bagaimanapun, katanya satu laporan polis berhubung kejadian itu dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 283 Kanun Keseksaan atas kesalahan bahaya atau halangan di jalan awam.

“Kita sedang mengesan individu terbabit dan kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, berdasarkan rakaman yang tular,” katanya menurut Berita Harian.

Orang ramai yang melihat kejadian itu atau mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit diminta tampil membantu siasatan polis.

Maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat kes, Fadli Ahmad di talian 019 2500019.

Terdahulu, video berdurasi 41 saat itu tular di media sosial dengan memaparkan seorang lelaki sambil memegang topi keledar melintas jalan sebelum dilihat merebahkan badan atas jalan ketika laluan di situ sibuk dengan kenderaan.

Bagaimanapun, semakan di Twitter berhubung hantaran video itu mendapati ia sudah dipadamkan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*