Suasana pilu selubungi kediaman ibu sebaik jenazah tiba pada pukul 3.35 pagi

PONTIAN – Suasana pilu menyelubungi kediaman ibu kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sebaik jenazahnya tiba pada pukul 3.35 pagi.

Terdahulu, jenazah Salahuddin yang dibawa menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar, Kedah, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Kulai, pada pukul 2.30 pagi.

Jenazahnya kemudian dibawa menaiki van jenazah ke kediaman ibunya, Aminah Abdullah, 83, di Kampung Serkat (Kopi Tenggek), Tanjung Piai di sini.

Mengiringi jenazah Salahuddin adalah isterinya, Datin Seri Fatimah Taha dan enam orang anaknya.

Saudara-mara dan penduduk kampung dilihat mula memenuhi perkarangan kediaman ibu Allahyarham sejak pukul 12 tengah malam tadi.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Jenazah Salahuddin dijangka dibawa ke kediamannya di Jalan Adil Serkat sebelum dibawa ke Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot untuk solat jenazah dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong Serkat, Tanjung Piai.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.

Jumaat lalu, Salahuddin yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dikejarkan ke wad kecemasan HSB pada pukul 10.15 malam selepas mengalami mual serta muntah-muntah.

Doktor pakar kemudian mengesahkan beliau mengalami pendarahan otak dan selamat menjalani pembedahan serta berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu ditidurkan dan dipantau rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sebelum dilaporkan meninggal dunia.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 lalu, Salahuddin memenangi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram dan pernah memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*