Anwar tunai janji, kemuka bukti pelepasan hutang Felda, gesa Muhyiddin minta maaf

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen ditandatanganinya bagi meluluskan pelupusan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion seperti dituntut Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Perdana Menteri dalam masa sama menuntut Mahiaddin yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk memohon maaf atas fitnah dilemparkan.

“Saya kemukakan sebahagian dokumen perjanjian ‘Assignment for Financial Service Reserve Account’ (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang saya tandatangani.

“Justeru itu, saya mendesak Tan Sri Muhyiddin untuk memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepada saya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahiaddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang peneroka Felda selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Menteri Kewangan itu.

LOD disediakan firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership bertarikh 18 Julai 2023 (Selasa) itu dihantar ke dua alamat Anwar iaitu di kediamannya di Kajang, Selangor dan Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Firma itu menyatakan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) telah membuat kenyataan fitnah dengan niat mencemar, menjatuhkan dan/atau merosakkan reputasi Mahiaddin.

LOD terbabit turut menuntut Anwar untuk mengemukakan surat atau dokumen yang beliau tandatangani sebagai Menteri Kewangan pada akhir Jun 2023 bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda bernilai RM8.3 bilion dalam tempoh 24 jam.

Dalam masa sama, Perdana Menteri dituntut menarik balik kesemua kenyataan fitnah dan memadamkan penyiaran dari akaun Facebook serta laman web, platform ia disiarkan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*