“Kamu tak terfikir ke masa depan dia sebelum buat? Ini anak menjadi tanggungjawab dan amanah pada kamu sebagai ayah.
“Anak-anak adalah rezeki, malah ada orang masih belum dapat anak walaupun macam-macam buat termasuk jumpa doktor,” itulah teguran Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat sebelum menjatuhkan hukuman penjara 218 tahun serta 75 sebatan terhadap seorang bapa selepas mengaku bersalah merogol dan amang seksual anak kandung hingga bersalin, sejak 2020.
Tertuduh, 41, bekerja kampung mengaku bersalah terhadap kesemua lapan pertudungan dengan tujuh daripadanya membabitkan rogol yang bermula ketika anaknya berusia 12 tahun.
Mengikut fakta kes, kejadian pertama berlaku apabila tertuduh melakukan amang seksual fizikal terhadap anaknya pada waktu malam pada 2020.
Selepas itu, tertuduh melakukan perbuatan jijik terhadap mangsa pada Oktober tahun sama dengan merogolnya dan kejadian terakhir berlaku pada 8 pagi, 5 Jun lalu.
Mangsa yang baru melahirkan anak lelaki minggu lalu dalam laporannya memberitahu, tertuduh turut memanjat bilik selepas mangsa menukar kunci bagi mengelak dirogol namun gagal.
Kejadian terbongkar selepas sesi pemeriksaan kesihatan dijalankan di sekolah mangsa dan mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuhnya.
Mangsa ketika itu tidak mengetahui dia mengandung sebelum membuat laporan polis terhadap tertuduh.
Tertuduh pertama kali didakwa pada 14 Jun dan mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan. Semua kejadian berlaku di sebuah rumah dekat sini.
Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan juga sebatan.
Dia juga didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan.
Sebaik mendengar hujahan pihak pendakwaan serta rayuan tertuduh, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan tiga sebatan serta tambahan tiga tahun dan dua sebatan untuk kesalahan amang seksual fizikal.
Bagi kesalahan merogol pula, mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum iaitu 30 tahun penjara dan 10 kali sebatan untuk setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, bagi hukuman amang seksual fizikal, mahkamah mengarahkan kedua-duanya dijalankan secara berasingan manakala kesalahan merogol berjalan serentak dengan semua hukuman bermula dari tarikh ditahan 8 Jun lalu.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Leave a Reply