Hina Sultan : Dewan Diraja Selangor tuntut Sanusi minta maaf segera

Pemimpin PAS Sanusi Md Nor harus memohon maaf secara terbuka atas ucapan yang dikatakan menyentuh prerogatif Sultan Selangor dalam melantik menteri besar, kata ahli Dewan Diraja Selangor.

“Kenyataan beliau itu ialah suatu kenyataan yang kita anggap sebagai menghina institusi beraja di Selangor, apabila beliau mengatakan bahawa pelantikan menteri besar Selangor itu seolah-olah tidak wajar kerana beliau beranggapan bahawa Sultan Selangor telah melantik orang yang seolah-olah tidak tepat,” kata Emran Kadir.

Ditemui pemberita di Balai Polis Seksyen 6, Emran mengingatkan pemimpin PAS itu bahawa Sultan Selangor melantik seseorang menjadi menteri besar mengikut perlembagaan negeri.

“Menteri besar Selangor sekarang ialah seorang pemimpin parti yang mendapat kepercayaan majoriti di Dewan Negeri. Jadi itu tak sepatutnya dipersoalkan,” katanya selepas laporan dibuat.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional didakwa menghina Sultan Selangor ketika berceramah di Selayang, baru-baru ini.

Dalam ucapan Sanusi yang tular, pemimpin PAS itu dipaparkan seolah-olah menyentuh tentang perkenan Sultan Selangor, berkait pelantikan “menteri besar cokia (tiada kualiti)”.

Menteri Besar Amirudin berkata pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan penyokongnya perlu menilai semula kenyataan dibuat Sanusi itu, serta menginsafi kesilapan yang disifatkan melanggar etika ‘berkempen’.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain kelmarin mengesahkan Sanusi disiasat bagi kesalahan berkait kaum (race), agama (religion), dan raja (royalty) atau 3R.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*