Campak 2 anak dari tingkat atas rumah demi nyawa

Seorang bapa bertindak mencampak dua anak lelakinya dalam usaha menyelamatkan nyawa mangsa yang terperangkap dalam kebakaran deretan rumah kedai di Pekan Lenga, Bukit Kepong di sini.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi tadi, Zamirul Suahimi, 30, bertindak mencampak Muhammad Firas Syahmi, 10, dan Muhammad Harith, empat tahun, dari tingkat atas premis sebelum dua beradik itu berjaya disambut dua pekerja kilang yang kebetulan berada di lokasi.

Bagaimanapun, Zamirul yang terjun selepas itu tercedera pada tangan akibat terkena zink selain melecur di telinga, mata, mulut selain bengkak di tengkuk.

Menceritakan kejadian itu, isterinya, S’biha Bahari, 39, berkata, sebelum kejadian dia menghubungi suaminya beberapa kali namun tiada jawapan.

“Tidak lama kemudian dua pekerja kilang terbabit menjawab telefon suami dan memaklumkan kedai makan milik kami terbakar.

“Menjadi kebiasaan bagi suami dan anak tidur di kedai kerana dia akan masak juadah pagi. Saya pula tidur di rumah ibu tidak jauh dari kedai makan.

“Suami terus bangun apabila mendengar jeritan sebelum mencampakkan anak dari tingkat atas kedai,” katanya.

Menurutnya lagi, suaminya itu kini dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, dekat sini.

Dalam kejadian itu, 10 buah rumah kedai terbakar antaranya kedai runcit, kedai motosikal, kedai perkakas rumah, kedai motosikal dan sebuah rumah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*