“Missi! Missi!”
Itulah panggilan yang biasa dapat kita dengari, sekiranya kita berada di dalam wad hospital. Walaupun wujud beberapa istilah panggilan lebih formal untuk jururawat seperti sister diamalkan, penggunaan istilah missi atau misi terus kekal popular.
Dalam bidang perubatan selain istilah missi, wujud juga jawatan lain seperti doktor dan porter yang bertugas di hospital bertungkus-lumus menghulurkan bantuan kepada orang ramai, sebagai satu profesion.
Kenapa kita memanggil mereka ini dengan gelaran sedemikian rupa? Jom kita pelajari sebabnya.
Kenapa nurse bergelar missi?
Walaupun secara formal dikenali dengan nama nurse atau jururawat, masih ramai di antara kita khususnya generasi lebih tua selesa memanggil individu pemegang jawatan ini sebagai missi atau missy.
Ini berpunca daripada panggilan yang digunakan oleh masyarakat kita terdahulu ketika era penjajahan di mana seorang jururawat yang bertugas khususnya yang muda, akan disapa sebagai ‘miss’.
Dicampur aduk dengan slanga masyarakat yang ada, khususnya sebutan masyarakat Cina – ‘miss’ akhirnya diolah menjadi ‘missi’ atau ‘missy’ dan sebutan itu kekal popular sehingga sekarang.
Nurse = Sister dan Matron?
Selain missi, jururawat juga mempunyai dua gelaran berbeza iaitu sister dan juga matron, bagi jururawat berpangkat senior yang mempunyai tanggungjawab pengurusan.
Gelaran sister datang daripada salasilah jawatan itu sendiri, yang sebenarnya dimulakan oleh golongan biarawati gereja, disebabkan oleh usaha pihak gereja sejak dahulu mewujudkan pusat-pusat perubatan dengan petugasnya datang daripada ahli gereja rasmi sendiri.
Seorang sister bukan saja memegang tanggungjawab sebagai petugas gereja tetapi mereka juga dibenarkan untuk menjaga pesakit yang dihantar ke klinik atau pusat rawatan yang dibuka.
Matron pula diguna untuk merujuk kepada ketua jururawat, individu yang mengetuai kumpulan jururawat bertugas dalam satu-satu masa.
Istilah ‘matron’ sebenarnya digunakan untuk merujuk kepada isteri majikan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan kumpulan pekerja di England satu masa dahulu, menguruskan kualiti hidup pekerja dan memastikan kesihatan pekerja terjaga.
Lama-kelamaan gelaran matron mula diperluaskan penggunaannya, mula diguna di hospital dan sekolah asrama bagi mewakili wanita yang biasanya lebih berusia – dipertanggungjawabkan menjaga kebajikan kumpulan individu di bawah seliaannya.
Leave a Reply