Salah guna kuasa : Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara disiasat

Dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang disiasat berhubung dengan dakwaan amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawainya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dua agensi itu ialah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, sewaktu lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 1 KLIA) pada Ahad mendapati masih ada kelompok kecil pegawai imigresen yang terbiasa dengan amalan dan sistem lama.

“Saya pergi dan merumuskan untuk mempertahankan integriti imigresen serta masih menekankan supaya tindakan segera dan keras diambil terhadap beberapa kelompok kecil yang selesa dengan cara lama,” katanya menerusi ucapan semasa Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini pada Isnin.

Beliau berkata, situasi sama berlaku di JPN apabila terdapat segelintir pegawai yang meminta bayaran untuk mengeluarkan sijil kewarganegaraan.

“Semalam saya terima maklumat JPN disiasat.

“Kita memudahkan kepada orang yang layak mendapat kewarganegaraan dan sebagainya.

“Untuk mendapatkan sijil itu, lagi dikenakan bayaran,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*