Akhirnya perangai sebenar Inspektor Sheila terdedah jua

Akhirnya perangai sebenar Inspektor Sheila terdedah jua.

Oleh kerana perwatakannya tegas sebagai seorang pegawai polis wanita, ‘Inspektor Sheila’ yang tular di media sosial sejak dua minggu lalu, mengakui dirinya masih belum berpunya.

“Saya masih bujang kerana terlampau tegas…tidak banyak lelaki sukakannya,” katanya berseloroh ketika menjawab soalan pemberita di Mahkamah Selayang di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas didakwa tiga tuduhan mengugut dan mengaibkan kesopanan tiga individu termasuk seorang anggota polis di Mahkamah Majistret di sini.

Malah, ‘Inspektor Sheila’ atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, mengakui cara percakapannya memang dalam nada yang tegas.

“Suara saya memang begini … cuba tanya penduduk di Petaling Jaya, Inspektor Sheila ini memang tegas orangnya.

“Ketua saya selalu menghantar saya untuk memberikan ceramah, saya sudah berkhidmat dari 2017 hingga tahun 2022…berapa banyak ceramah dalam bahasa Inggeris, berapa banyak dalam bahasa Melayu yang saya berikan

“Cuba tanya penduduk di Petaling Jaya, Inspektor Sheila ini dia memang orang yang suka ikut prosedur…saya bukan seorang yang suka cakap mengarut.

“Saya tidak ambil rasuah, tidak akan berkompromi untuk mengurangkan seksyen dalam tuduhan tetapi banyak orang cuba merasuah saya,” katanya.

Pagi semalam, Sheila mengaku tidak bersalah mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat untuk mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah menghina kesopanan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk , botak dan badak sumbu,” mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sheila turut membuat pengakuan sama terhadap tuduhan menyebut pangkat lans koperal dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif FarhanAbdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya, juga mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*