Setelah berjaya jimatkan hampir RM6 juta di Perlis, stesen minyak tanpa subsidi bakal diperluas di JB

Setelah berjaya jimatkan hampir RM6 juta di Perlis, stesen minyak tanpa subsidi bakal diperluas di JB. Kerajaan sedang mengkaji lokasi sesuai bagi membangunkan stesen minyak tanpa subsidi di Johor Bahru, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub.

Salahuddin berkata kajian terperinci perlu dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), memandangkan Johor bersempadan dengan Singapura dan banyak kenderaan dari republik itu mengisi petrol di bandar raya ini.

“Menerusi projek rintis di dua stesen minyak tanpa subsidi yang dibuka di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis, ia dapat menjimatkan hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan.

“Di Johor Bahru ini, kita sedang buat kajian terperinci kalau ada tempat sesuai, kita akan buka untuk mengelakkan atau meminimumkan aktiviti pembelian minyak bersubsidi (oleh kenderaan asing),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran iTTV e-Learning Rahmah di Kempas di Johor Bahru, hari ini.

Pada 18 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata KPDN kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di beberapa negeri lain selepas projek rintis dilaksanakan di Perlis.

Ahmad Zahid dipetik berkata KPDN sedang peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi terutamanya di Kelantan dan akan disusuli dengan Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor.

Sementara itu, Salahuddin turut mengingatkan bahawa kenderaan berpendaftaran asing tidak dibenarkan mengisi petrol bersubsidi RON95 termasuklah mengisikannya ke dalam tong untuk kegunaan kenderaan lain kerana subsidi petrol hanya diberikan kepada rakyat Malaysia.

“Berhubung kes tular melibatkan warga Singapura mahu membeli bahan api itu, bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia tidak sempat membelinya. Alasan diberi iaitu untuk kegunaan go-kart… saya sedang menunggu laporan daripada KPDN Johor, jika pemilik stesen melakukan kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut undang-undang,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin dilapor berkata pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung kes pertengkaran mulut melibatkan seorang penghantar makanan dan dua lelaki warga asing di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri, pada 16 Jun lepas.

Mengenai iTTV e-Learning Rahmah, Salahuddin berkata pelaksanaan Pakej Tuisyen Rahmah itu dapat memanfaatkan ribuan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.

Dia berkata pelaksanaan pakej tersebut bertujuan membantu kumpulan miskin tegar dan golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan tambahan demi masa depan mereka.

“Pakej ini menyasarkan murid daripada darjah empat hingga pelajar tingkatan lima dengan penyediaan lebih 3,000 video tutorial berdasarkan sukatan kurikulum Kementerian Pendidikan,” katanya sambil menambah pelancaran pakej itu turut membuktikan inisiatif Payung Rahmah masih diterima rakyat Malaysia.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*