Inspektor Shiela yang tular di media sosial digantung kerja

Pegawai polis wanita yang dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ disahkan sudah ditahan tugasnya sejak minggu lalu bagi melengkapkan siasatan berhubung beberapa siri kekecohan yang tular dalam media sosial.

Mengesahkan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini sebanyak dua kertas siasatan dibuka.

Kata beliau, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Rakaman percakapan juga sudah diambil pada 18 Jun lalu dan kedua-kedua kertas siasatan sudah dirujuk kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Pada masa yang sama, sebanyak enam kertas siasatan tatatertib dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.Saifuddin berkata, polis mempunyai kaedah dan mekanisme yang jelas untuk menghadapi perilaku ketidaktenteraman persepsi.

“Jadi, kita biarkan pasukan polis mengguna pakai undang-undang,”jelasnya.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kejadian pegawai polis wanita yang mencetuskan kekecohan di parkir pusat beli-belah di Brickfields, di sini.

Sebelum itu pegawai berkenaan menerima kecaman netizen selepas dua klip video masing-masing berdurasi 24 dan 10 saat dimuat naik dalam media sosial Khamis lalu memaparkan dirinya mencemuh seorang lagi anggota berpangkat lans koperal dalam kejadian sekitar Gombak, Selangor.

Susulan itu, polis Selangor memanggil pegawai wanita terbabit untuk dirakam keterangan berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*