Golongan B40 dan miskin tegar tidak akan disisihkan malah, kebajikan mereka akan terus dibela kerajaan sekiranya pengkelasan pendapatan isi rumah dihapuskan mulai tahun depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, golongan itu tetap menjadi sasaran dan perhatian oleh kerajaan.
Beliau berkata ketika ini, Pangkalan Data Utama (Padu) sedang mengumpul data lengkap pendapatan rakyat supaya lebih tepat dan menyeluruh.
“Saya rasa kita tunggu Padu dahulu kerana data itu lebih komprehensif dan kita harap data itu dapat diselaras dengan baik.
“Cuma kita mahu murnikan lagi data-data yang ada supaya lebih tepat bagi mengelak mana-mana pihak mengambil kesempatan.
“Padu juga akan memastikan data itu tulen sekali gus bantuan yang akan disalurkan kelak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN.
Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, kerajaan akan menghapuskan pengkelasan B40, M40 dan T20 secara berperingkat mulai tahun depan.
Menurutnya, semua pihak bakal melihat peralihan daripada subsidi menyeluruh manakala pengkelasan B40, M40 dan T20 dihapuskan secara berperingkat mulai 2024.
Leave a Reply