{VIDEO} Penunggang sempat tunjuk aksi ‘lagak ngeri’ sebelum motosikal bersepai rempuh lori

Tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki sempat membuat aksi lagak ngeri atau ‘stunt’ sebelum motosikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu merempuh sebuah lori tangki.

Video berdurasi 30 saat itu dikongsikan oleh seorang pegawai polis India, Rupin Sharma di laman Twitternya.

Menerusi video berkenaan, kejadian itu dipercayai berlaku di luar negara berdasarkan bahasa yang dituturkan oleh pengguna jalan raya yang berada di lokasi terbabit.

Insiden ngeri itu berjaya dirakam oleh seorang pemandu yang memandu di belakang penunggang tersebut.

Mangsa dilihat memakai sut penuh penunggang dengan kamera GoPro diletakkan di topi keledarnya.

Berdasarkan rakaman, aksi itu dilakukan di jalan yang lengang, namun laluan bertentangan dilihat agak sesak serta dipenuhi dengan kereta dan lori.

Malangnya, selepas membuat aksi pacak, motosikal lelaki berkenaan tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh lori tangki yang datang dari arah bertentangan.

Akibat perlanggaran itu, badan lelaki tersebut dipercayai bersepai di atas jalan raya.

Video itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet, ada yang berharap agar orang ramai terutamanya penunggang motosikal mengambil insiden itu sebagai satu pengajaran.

“Terdapat trek khas yang disediakan untuk perlumbaan, jika anda gemar berlumba, sila berlatih di trek tersebut, bukan di atas jalan awam,” kata seorang pengguna Twitter.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*